Abang Boy Sayang

Ini Abang Boy

Abang Boy ialah kucing komuniti. Kakak kenal Boy dah agak lama. Waktu Alice masih ada. Masih ingat lagi pada Alice? Kesayangan kakak tu. Nah boleh baca cerita Alice kat sini..

Boy ialah umpama Alice tapi versi kucing jantan. Perangai mereka seakan-akan ada persamaan. Entah entah adik beradik tak?

Kakak ingat lagi Boy cakar kakak waktu kakak tak dapat selamatkan Alice waktu Alice dilanggar. Boy ada di tempat kejadian. Kakak suruh Boy ke tepi, bimbang dia dilanggar pulak. Tapi Boy marah kakak. Dia cakar kakak lalu berlari pergi.

Selepas pemergian Alice, Boy jadi pengganti. Setiap hari datang melawat Sookie’s Store. Memandangkan Boy sudah dimandulkan, kami biarkan je beliau bebas berjalan dan meronda dalam kedai bila-bila waktu yang dia nak. Bila dia nak masuk, dia meow meow depan pintu, lalu kami bukakan pintu sambil ucapkan “Selamat datang Abang Boy..”, sengaja usik dia. Hehe.. bila dia dah bosan, dia akan duduk depan pintu dan tunggu customer nak keluar, supaya dia boleh keluar sekali.

Bukan kakak tak cuba adopt Abang Boy, dah pernah dah, banyak kali cuba.. tapi macam kakak cakap tadi, perangai Boy macam Alice. Dia tak suka indoor. Kakak nak Boy happy selalu, tak mahu dia stress.. jadi kami lepaskan dia semula. Abang Boy memang tidak ke mana-mana. Dia selalu ada. Tempat dia memang di luar kedai perhati orang lalu lalang, ataupun paling jauh pun kat Restoran Santai. Tu pun bukannya meminta-minta diberi makan. Hanya meronda je. Boy memang makan kat kedai kakak..

Setiap hari kakak akan pastikan jumpa Boy. Hari-hari kakak akan berbual dengan dia.. tanya hari ni buat apa, jalan dekat mana, sambil pesan jangan bergaduh, jaga diri dan hiasi peribadi, cewahhhh.. kalau kakak tak jumpa dia, mesti kakak tanya pada staf, mana abang Boy, sihat ke dia.. mesti ambik tahu..

Boy ada makanan favorite. Dia suka makan RC Hair & Skin. So kakak memang pastikan botol makanan Boy dalam kedai sentiasa ada makanan kegemaran dia. Sebab anytime je dia akan datang bagi salam nak mintak masuk untuk makan dan minum.

Abang Boy dengan adik ipar kakak. Siap selfie.

Padahal ramai yang takut dengan Boy, termasuklah staf kakak sendiri pun kadang tu tak berani nak handle Boy.

Sebab Boy panas baran.

Boy kasar. Dia bukan kucing rumah. Dia tak pandai main baik-baik. Dia tak suka budak-budak, terutamanya. Selalunya memang Boy akan keluar kuku, walaupun niat dia sebenarnya cuma nak sentuh kita je.

Walaupun ramai yang puji Boy budak yang berisi, tapi tak ada siapa yang berani kidnap dia walaupun dia bukan kucing indoor. Mungkin sebab sikap panas baran dia buat orang takut nak angkat pun, apatah lagi nak kidnap bawak balik.

Boy tak suka orang kuis dia pakai kaki. kalau nak tegur dia, kena usap badan dia elok-elok, baru respon dia positif. Kalau pakai kaki, memang dia marah dan cakar terus. Mungkin dalam hati dia berkata, “Aku mungkin kucing jalanan, tapi kau sebagai manusia tak patut kuis aku pakai kaki je, gunalah tangan wei,” maybe tu lah kot yang dia fikir hahaha..

Abang Boy senior di kawasan tu, jadi kakak selalu pesan dengan Boy, jangan perambat kucing lain, jangan pukul anak kambing, jangan bergaduh waktu makan. Makan ikut turn. Bab makan minum jangan risau, kakak akan pastikan sentiasa ada untuk korang.

Memang Abang Boy pernah dilihat menampar kambing bertubi-tubi sebab kambing tu curi-curi makan kibbles yang kami letak kat depan kedai ye. Berapa punya samseng daaa.. padahal kambing tu beso lagi daripada dia. Sikit pun dia tak takut. Kalau anak-anak kambing tu, senang aje dia perambat.

Suatu hari, kakak tak jumpa Abang Boy. Risau, tapi kakak sedapkan hati. Mungkin Boy dah tertidur kat mana-mana kot.

Bila kami jumpa Abang Boy, beliau injured dan kelihatan susut badannya. Mula-mula tak perasan tau dia injured. Ingatkan kaki dia sakit ke apa. Bila bawak dia ke klinik, baru tahu ada bengkak pada kaki dia. Luka kesan bergaduh. So jadi bisul. Doktor keluarkan nanah dan bagi antibiotik untuk Boy habiskan. Rupanya ada banyak sangat kesan bergaduh di badan Boy.

Sejak itu, Boy kami bawa tinggal bersama kami. Sebab tengah injured kan. Kena lah pantau. Ada kala Boy demam. Monyok je dia. Kakak dah mula tak sedap hati. Ulser dalam mulut tak sembuh juga.

Kemudian luka kesan bergaduh pada badan Boy mula menjadi bisul. Lepas satu, satu. Macam tak sembuh sembuh pulak. Sana baik, sini bisul. Situ baik, sana bisul. Padahal dia makan antibiotik tau.

Badan Boy makin susut. Kakak tak tahu sebab sakit atau sebab dia stress tak dapat bebas keluar. Hati kakak makin tak tenang. Abang Boy dibawa semula ke klinik. Ujian darah dilakukan untuk menentukan sama ada positif FIV atau tidak, sebab dari pemerhatian doktor, luka bisul Boy dan ulser yang tak mahu sembuh tu seolah memberi petanda yang ianya simptom FIV.

Dan benarlah, Abang Boy positif FIV.. FIV ialah singkatan untuk Feline Immunodeficiency Virus. Ia menyerang sistem immune badan kucing

Betapa pilunya hati kakak bila dapat tahu. FIV disebarkan melalui luka tusukan dalam atau gigitan dalam pergaduhan. Kakak syak masa Abang Boy tak datang jumpa kakak tu la yang dia bergaduh agaknya. FIV juga boleh menjangiti anak kucing dari ibunya. Walaubagaimanapun, FIV tidak berjangkit jika kucing kita berkongsi bekas makanan atau litter box, social grooming (jilat badan atau muka satu sama lain), bersin, atau bersentuhan.

Takpe Boy, kakak sayang Boy.. kakak akan jaga Boy..

Tapi keadaan Boy makin parah. Dia mula tak mahu makan. Luka pun tak sembuh sembuh. Mengikut pembacaan kakak, kucing yang dijangkiti FIV, memang kalau dia sakit, sakitnya akan parah. Sebab immune system dah semakin merosot. Fungsi buah pinggang juga akan mula terjejas dan tak dapat berfungsi dengan baik.

Kalau demam, dia akan demam teruk. Kalau selsema, dia akan lambat sembuh. Kalau bisul, lukanya lambat sembuh dan berbalik balik. Kalau dijangkiti kutu pun, ianya boleh merisikokan nyawa. Begitu juga jika kecacingan. Kucing yang ada FIV tidak dibenarkan makan makanan mentah sebab bakteria dan parasit dalam makanan mentah tu boleh membahayakan nyawanya.

Antara simptom FIV ialah:

  • Hilang berat badan
  • Selalu demam
  • Sentiasa tidak bermaya
  • Bengkak pada lymph nodes (bahagian antara rahang dengan leher)
  • Anemia (kurang darah)
  • Bulu tidak terurus, kering, gugur dengan banyak
  • Tiada selera makan
  • Cirit birit
  • Sakit mata
  • Ulcer pada mulut
  • Kerosakan pada gigi
  • Luka yang tidak sembuh
  • Bersin
  • Kerap kencing, sukar kencing atau kencing di luar litter box
  • Perubahan tingkah laku

Abang Boy ada most of the simptoms di atas.

Tapi kucing FIV boleh je hidup lama, asalkan kita jaga kesihatan dia baik-baik. Mesti deworm dan letak ubat kutu setiap bulan supaya tidak dijangkiti sebarang parasit. Jangan pulak bila kita dapat tahu kucing kita ada FIV, terus nak buang la, hantar shelter la. Jangan buat macam tu, tak baik. FIV pun tidak menjangkiti manusia.

1420946904445

Kucing yang FIV positive tidak membahayakan anda atau kucing lain

Abang Boy dibawa ke klinik lagi. Kali ni doktor suruh warded sebab dia dah tak boleh makan dan minum sendiri. Condition Boy langsung tak ada perubahan. Malah makin buruk.

Kakak dah prepare for the worst. Dalam hati kakak berkata, “Kakak bersedia jika Boy terpaksa tinggalkan kami jika itu yang terbaik untuknya..” kakak tak suka tengok kucing sakit lama. Nanti kakak rasa berdosa dan bersalah. Sebab bila dia masih hidup, mestilah kita nak bagi dia makan ubat, force feed makan dan minum kan. Hati macam kena siat-siat tau, Hati kakak sakit tengok dia terbaring je tak bergerak macam selalu. Nak angkat kepala pun tak mampu.

Akhirnya petang tu kakak terima panggilan dari klinik. Bila nampak je nombor klinik, hati kakak dah dapat agak.. Abang Boy menghembuskan nafasnya yang terakhir di klinik, tanpa kakak di sisi. Sedih. Memang sedih. Mana pernah kakak tak sedih bila kucing yang kakak bagi makan, yang kakak peluk cium, pergi tinggalkan kami..

Abang Boy pergi pada 16 May 2016 dan dikuburkan dikuburkan di halaman rumah kami pada malam tu jugak. Dah macam pet cemetary dah laman rumah ni. Setiap kucing yang dikuburkan, kami ingat di mana.

Pesanan kakak pada semua pemilik kucing, kalau termampu, peliharalah kucing dalam rumah je. Jangan biar kucing tu merayap keluar. Jika bernasib baik, kucing tu pulang dengan selamat. Jika nasib tak baik? Kucing pulang membawa virus seperti FIV, FELV, FIP atau Sporo. 4 jenis penyakit ni takde cover dalam basic vaccine yang 4 in 1 tu ye. So toksah le cakap “Kucing saya dah vaksin, so takpe je biar dia jalan kat luar,”

Kalau setakat kurap, fungus, kutu atau cacing memang boleh rawat lagi. Tapi kalau dia bawak balik penyakit yang 4 jenis tu, memang menangis tak berlagu la kita ye.

Sehingga ke hari ini tiada penawar yang benar-benar disahkan mampu penyakit FIV, FIP dan FELV. Tapi FELV, FIV dan FIP ni ada vaksin. Ini ialah vaksin tambahan ye. Boleh rujuk dengan doktor veterinar masing-masing untuk maklumat lanjut. Kena vaksinkan kucing sebelum dia dapat penyakit ni, kalau dah dijangkiti, takleh buat apa-apa dah. Sporo boleh rawat dengan ubat. Tapi kosnya sangat tinggi dan memerlukan penjagaan yang strict dan kesabaran. Tak boleh missed makan ubat. Tak boleh putus ubat, dan hanya boleh putus ubat selepas doktor sahkan dah bebas sporo.

Tengoklah betapa bahayanya persekitaran luar untuk kucing. Bukan setakat bahaya sebab kenderaan banyak je, tapi macam-macam penyakit boleh kena.

Selamat tinggal Abang Boy. Kakak sayang Boy hingga akhir hayat Boy. Terima kasih sebab hiburkan kami sepanjang hayat Boy.

Semoga kita berjumpa lagi di suatu hari nanti 🙁

Source: http://pets.webmd.com/cats/cat-fiv-feline-immunodeficiency-virus

Comments

comments

Comments are closed.